Agong Lantik Mahathir Sebagai PM Interim

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga berkenan menerima peletakan jawatan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim itu dilakukan mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai Perdana Menteri interim, Dr. Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan anggota Kabinet baharu dilantik.

Difahamkan, Dr. Mahathir menghantar surat peletakan jawatannya ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini di Istana Negara.

Dr. Mahathir juga mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkuat kuasa serta-merta. – BH Online

Loading...