Agong Berkenan Terima Raket Seluruh England Zii Jia

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima persembahan raket yang digunakan Lee Zii Jia ketika perlawanan akhir Seluruh England 2021 di Istana Negara, di sini, hari ini.

Raket berkenaan digunakan pemain perseorangan lelaki utama negara itu ketika menewaskan juara bertahan dari Denmark Viktor Axelsen pada perlawanan akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham bulan lalu.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan pingat yang dimenangi Zii Jia serta bulu tangkis pada perlawanan akhir Seluruh England, selain plak gelaran Terbuka Switzerland 2021 dimenangi beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri jamuan teh bersama pasukan badminton negara ke Kejuaraan Seluruh England 2021.

Seri Paduka Baginda berdua disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. 

Selain Zii Jia dan gandingan Pearly-Thinaah, turut hadir beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan satu lagi beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Zii Jia, 23, merangkul gelaran sulung All England dengan bergaya selepas mengejutkan pemain di ranking kedua dunia Axelsen dan pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun pada perlawanan suku akhir. – BERNAMA