Agong Berkenan Terima Menghadap Duta Besar Arab Saudi

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussein Saeed Qattan di Istana Negara hari ini.

Dalam kenyataannya, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan serta mendoakan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dikurniakan kesembuhan dan pemulihan dengan segera.

“Seri Paduka turut mengimbas kembali kenangan manis pertemuan dan perbincangan bersama Raja Salman ketika lawatan negara baginda ke Arab Saudi pada 12 hingga 14 Julai 2019.

“Baginda menzahirkan penghargaan kepada Raja Salman dan kerajaan Arab Saudi atas kemurahan hati menyumbang peralatan perubatan kepada Malaysia.

“Sumbangan itu telah membantu Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan yang berkait dalam memerangi penularan COVID-19 di negara ini. Kerajaan Arab Saudi adalah penyumbang peralatan perubatan terbesar kepada Malaysia,” kata Ahmad Fadil.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussein Saeed Qattan di Istana Negara hari ini. – Foto ihsan Facebook Istana Negara

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah turut menghargai kerjasama yang diberikan kerajaan Arab Saudi dalam membantu kepulangan rakyat Malaysia ke tanah air.

Sehingga kini, seramai 1,222 rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air dari Arab Saudi menerusi 10 penerbangan khas.

Baginda turut menzahirkan harapan agar Malaysia dan Arab Saudi mengambil langkah-langkah konkrit untuk meningkatkan serta mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta perpaduan ummah, kata Ahmad Fadil.

Dalam pada itu, Mahmoud Hussein menyatakan Malaysia adalah sebuah negara model yang patut dicontohi oleh negara Islam dalam aspek pembangunan.

“Oleh sebab itu, Malaysia telah dipilih Arab Saudi sebagai negara perintis Inisiatif Makkah Route atau sistem prapelepasan E-Haji sejak 2017. Sebagai maklum balas, Seri Paduka menzahirkan harapan supaya sistem itu diteruskan pada musim-musim haji,” katanya Ahmad Fadil.

Arab Saudi adalah rakan dagang dan pasaran eksport Malaysia yang kedua terbesar dalam kalangan negara-negara Asia Barat, selepas Emiriah Arab Bersatu.

Pada 2019, nilai perdagangan di antara Malaysia dan Arab Saudi ialah kira-kira RM22.31 bilion (AS$5.39 bilion), peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. – BERNAMA

Loading...