Agong Sempurna Pemasyhuran Bandaraya Kuantan Ahad Ini

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan, Ahad ini. 

Keberangkatan Baginda akan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Hadir sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin. 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Majlis Pemasyhuran Bandaran Kuantan akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam usaha membendung wabak pandemik COVID-19.

Oleh itu, katanya, jumlah jemputan dihadkan untuk memastikan pelaksanaan aspek penjarakan fizikal. 

“Sukacita juga saya katakan Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan ini diadakan susulan kelulusan diberi oleh Kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019. 

“Pemilihan tarikh 21 Februari ini setelah beberapa kali ditunda ekoran pelbagai faktor termasuk situasi COVID-19. 

“Kali terakhir majlis seumpama ini ialah pada 1 September 1979 atau lebih 40 tahun lepas sempena kenaikan taraf Kuantan daripada sebuah bandar kepada perbandaran,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap penduduk Kuantan dan Pahang amnya, dapat sama-sama berbangga dengan hari bersejarah sempena Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan itu walaupun diadakan dalam skala sederhana. – BH Online