Agong Berkenan Melawat Majlis Islam Sarawak

KUCHING – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Majlis Islam Sarawak (MIS) di sini hari ini.

Sultan Abdullah tiba di Kompleks Majlis Islam Sarawak pada pukul 9.05 pagi dan turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Yang DiPertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dimulakan dengan sesi taklimat disampaikan oleh Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha diikuti dengan watikah pelantikan Yang Dipertua MIS, Mufti Negeri dan Anggota-Anggota MIS.

Seri Paduka meluangkan masa selama hampir sejam di MIS dan seterusnya baginda akan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Hana, Petra Jaya.

Ini adalah lawatan sulung baginda ke Sarawak setelah Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lepas.

Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Pahang dan negeri-negeri tidak beraja iaitu Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Loading...