Agong Berangkat Hadiri Majlis Solat Hajat, Doa Selamat

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berangkat menghadiri Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena…

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berangkat menghadiri Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi baginda di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba baginda yang berjubah dan berkopiah putih di perkarangan masjid kira-kira pukul 7.32 malam disambut oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Seri Paduka seterusnya menyertai solat Maghrib, solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat serta solat Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Zakariah Isa.

Sultan Muhammad V kemudian berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama jemaah sebelum berangkat pulang pada 9.10 malam.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata sebagaimana perkenan baginda, Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan bagi Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan tidak diadakan pada sambutan kali ini.

Berikutan tarikh sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda pada 9 Sept ini jatuh pada Ahad, maka cuti gantian diberikan pada Isnin (10 Sept) bagi negeri-negeri yang cuti mingguannya jatuh pada Ahad, katanya.

Sultan Muhammad V dijadual berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 12 Sept di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, Putrajaya dan berkenan hadir ke Forum Perdana Diraja yang diadakan di Istana Negara, di sini pada 13 Sept. – BERNAMA

Loading...