Agong Bangga Pelantikan Ramai Hakim Wanita

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima mengadap dan mengurniakan suratcara pelantikan kepada sembilan orang hakim, dengan lima daripadanya adalah hakim wanita.

Dalam istiadat berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rohana Yusof menerima suratcara pelantikan sebagai Presiden baharu Mahkamah Rayuan.

Tiga lagi hakim Mahkamah Rayuan ialah Datuk Zaleha Yusof, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan manakala Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hadhariah Syed Ismail sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Turut dilantik hari ini sebagai Hakim Mahkamah Rayuan ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Nantha Balan a/l E S Moorthy yang kedua-duanya ialah hakim Mahkamah Tinggi.

Turut dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ialah Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah dan Datuk Azmi Abdullah yang kedua-duanya ialah Pesuruhjaya Kehakiman.

Antara yang turut hadir menyaksikan istiadat itu Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ismail Bakar.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan perasaan bangga Seri Paduka dengan pelantikan ramai hakim wanita yang mencerminkan usaha dan keprihatinan pentadbiran negara dalam mengenengahkan pembabitan wanita dalam bidang kehakiman.

Loading...