Agihan Vaksin COVID-19 Tak Babitkan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR – Pengagihan vaksin COVID-19 yang dijangka diperoleh pada suku pertama tahun depan, tidak membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata pembangunan vaksin itu belum diuji ke atas golongan berkenaan dan hanya tertumpu kepada golongan dewasa.

“Sekarang ini, mana-mana vaksin COVID-19 yang dibangunkan belum lagi diuji kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

“Oleh itu, mereka tidak dapat menerima vaksin pertama pada tahun depan kerana kita akan memberi tumpuan kepada golongan dewasa untuk mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta penjelasan hanya 70 peratus rakyat Malaysia akan divaksin sebaik bekalan diperoleh tahun depan.

Kepada celahan Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN-Sepanggar) bagaimana kerajaan memastikan penggunaan vaksin COVID-19 tidak membawa risiko seperti berlaku di Korea Selatan, Khairy menegaskan, kerajaan akan memastikan tiada rakyat Malaysia dijadikan ‘bahan uji kaji’.

“Kita tidak akan berkompromi dari segi keselamatan. Walaupun kita harap perolehan vaksin akan diperoleh pada suku pertama tahun depan, kita akan khususkan kepada petugas barisan hadapan.

“Kita akan memastikan segala maklumat awal dan interim mengenai keselamatan diperoleh bagi memastikan tiada sesiapa di Malaysia ini menjadi tikus makmal.

“Kita akan lihat apa sahaja data klinikal disediakan syarikat (pengeluar vaksin) terlebih dahulu,” katanya.

Mengenai cadangan supaya peruntukan disediakan bagi penghasilan vaksin di peringkat tempatan, Khairy berkata, Malaysia belum memiliki kemudahan lengkap menghasilkan vaksin bagi kegunaan kesihatan manusia.

Bagaimanapun, katanya, satu tindakan proaktif menerusi Mesyuarat Majlis Sains Negara baru-baru ini bersetuju supaya Pelan Tindakan Pembangunan Vaksin Negara dibangunkan dengan objektif menjadikan Malaysia negara pengeluar vaksin manusia dalam tempoh 10 tahun. 

“Pelan tindakan ini dijangka siap pada suku kedua 2021. MOSTI juga menawarkan Dana Memerangi COVID-19 MOSTI bagi menggalakkan projek kajian dan penyelidikan dalam memerangi dan mengawal wabak itu.

“MOSTI turut meluluskan satu projek menerusi tabung ini yang berjumlah RM2.1 juta kepada Universiti Malaya (UM) bagi pembangunan vaksin COVID-19.

“MOSTI berharap inisiatif ini menjadi satu platform bagi penciptaan vaksin tempatan seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan bekalan vaksin dari luar negara,” katanya. – BH Online