Agihan Kerusi Antara 3 Parti Belum Dimuktamad

ALOR SETAR – Pengagihan kerusi antara PAS dan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) serta gabungan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bawah Perikatan Nasional (PN) belum dimuktamadkan lagi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan masih berjalan selagi tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum diketahui.

Menurutnya, peratusan kuota pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti masih belum dapat dibuat kerana perubahan masih boleh dilakukan sebelum tarikh PRU15.

“Pilihan raya tak tahu lagi bila. Bila sudah tahu tarikh pilihan raya, barulah kita dapat selesaikan. Sebaik tahu bila pilihan raya, kita akan dapat tentukan agihan kerusi.

“Ia boleh berubah di saat akhir. Saya tak boleh beritahu sekarang kerana semua parti masih boleh runding atau menilai mana perlu tukar di sana sini, belum muktamad lagi,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama peladang kawasan Muda di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar di sini pada Isnin.

Abdul Hadi berkata, sebarang keputusan muktamad berhubung agihan kerusi akan diputuskan oleh PAS Pusat.

Sabtu lalu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memaklumkan bahawa UMNO sudah selesai mengadakan rundingan kerusi bersama PAS.

Menurut Mohamed Nazri, UMNO akan bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen pada PRU15 nanti.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menegaskan, keputusan berkenaan diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Nazri turut memberitahu bahawa UMNO tidak akan memberi ruang kepada Bersatu untuk bertanding di kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada PRU14.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor turut menjelaskan bahawa rundingan agihan kerusi bagi PRU15 antara parti gabungan MN sudah mencapai konsensus melebihi 50 peratus.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pelaksanaan PRU15 dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar ketika negara berdepan dua musibah besar iaitu penularan wabak Covid-19 dan banjir di beberapa negeri.

“Waktu ini tak wajar. Masih ada kes Covid-19. Banjir pula tak tahu lagi bila dapat atasi. Dua isu besar ini pun tak selesai lagi, biar selesai semua baru kita boleh fikir tarikh untuk adakan pilihan raya,” katanya. – Sinar Harian