Agihan Dividen ASB, KWSP Rendah?

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak membayangkan pengagihan dividen lebih tinggi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Amanah Saham Bumiputera dan Tabung Haji semakin tipis selepas pasaran saham tempatan jatuh lagi pagi ini.

Menurutnya, penurunan hari ini genap 300 mata di bawah paras sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Akhir tahun 2018 (30 Disember), masih ada 1690.5 mata. Kini lebih rendah.

“Nampaknya peluang untuk dividen yang tinggi dari tabung-tabung KWSP, ASB, Tabung Haji menjadi semakin tipis,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

FBM KLCI, yang jatuh sejajar dengan kebanyakan pasaran dunia – menurun di bawah tahap sokongan 1,600 lagi selepas dua setengah bulan sejak ditutup pada 1,598.32 mata pada 27 Mei tahun ini.

Indeks penanda aras jatuh sebanyak 15 mata dalam beberapa minit, selepas dibuka kepada 1,615.24 mata pagi ini.

Pada 11.49 pagi, KLCI menurun sebanyak 20 mata atau 1.24 peratus kepada 1,595.05 mata. – MalaysiaGazette