Agenda DAP Ke Atas Malaysia Terdedah?

KUALA LUMPUR – Perbuatan pemimpin DAP mempersenda kematian Ulama PAS, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din melambangkan ciri-ciri pemerintahan yang akan diamalkan oleh parti itu jika Pakatan Harapan dibenarkan memerintah negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd. Shahar Abdullah berkata, tindakan pemimpin DAP saban hari tanpa rasa takut menghina agama Islam dan pemimpin Melayu adalah refleksi kepemimpinan yang akan ditonjolkan oleh mereka jika berpeluang mentadbir Malaysia.

“Mungkin kita tidak dapat lihat apa kesannya sekarang, tetapi tanpa kita sedar, DAP kini sedang mewujudkan ‘sempadan’ antara kaum Melayu dan cina dengan ‘menjentik’ kemarahan antara kita melalui isu keagamaan.

“Jika sebelum ini Ng Suee Lim, Nga Kor Ming, Eric Paulsen, Tony Pua dengan lantang dan tanpa rasa takut menghina Islam, terbaharu Jeff Ooi pula tanpa segan silu seakan-akan mempersendakan kematian tokoh agama Islam negara. Apa tindakan ketua parti DAP terhadap mereka? Tiada,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Shahar berkata, DAP dalam kempen politik mereka kononnya memperjuangkan ‘kesamarataan’ antara kaum tetapi hari demi hari pemimpin DAP memercikkan api perkauman yang menyebabkan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum.

Malah, katanya, lebih buruk, pemimpin DAP menyasarkan untuk menghina agama Islam yang mereka sedia tahu merupakan agama yang dipelihara dan dianuti kaum Melayu.

Tegas beliau, tindakan Jeff Ooi menghina pemergian seorang tokoh Islam menunjukkan bahawa DAP adalah satu parti yang langsung tidak sensitif malah dangkal dalam menjadi pemimpin yang mewakili kaum Cina.

“Kita berharap tindakan diambil dan jika benar Jeff Ooi seorang lelaki budiman yang kononnya memperjuangkan kesamarataan kaum seperti yang diuar-uarkan partinya, mohon maaf kepada keluarga Allahyarham dan semua umat Islam dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii pula berkata, Jeff Ooi yang menghina pemergian Haron Din membuktikan DAP mempunyai pemimpin Kanan yang memiliki kebencian terlampau ke atas kaum Melayu.

Menurutnya, kebencian itu tidak lagi disembunyikan dan disuarakan secara terbuka oleh mereka.

“Setiap kali mereka mencaci orang Melayu,dan setiap kali itulah akan ada pemimpin mereka meminta maaf bagi pihak DAP, dan setiap kali itu lah tidak akan ada tindakan dari parti mereka.

“Malah yang mencaci orang Melayu akan dimartabatkan sebagai wira senyap “silence warrior” bagi pimpinan tertinggi DAP. Mereka akan tetap memuja pemimpin seperti “Teresa Kok, Nga Kor Ming, Jeff Ooi,” ujarnya.

Justeru, Mohd. Razlan mengingatkan semua pihak bahawa agenda DAP untuk mematikan semangat Bangsa Melayu akan diteruskan seperti biasa.

“Bergaduhlah Mereka yang berfikiran liberal dalam Whastapp dek tindakan Jeff Ooi. Yang pastinya, Jeff Ooi dan DAP terus menang dengan agenda mengikis tembok kesucian agama Islam dan sempadan budaya timur orang Malaysia,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan dimana 14 pemimpin Melayu DAP yang dikatakan boleh mempertahankan agenda Melayu dalam DAP.

“Mana Diyana dan rakan-rakannya? Berdiam diri adalah tanda setuju terhadap penghinaan Jeff Ooi,” katanya. – mynewshub.cc

Loading...