Aerotrain KLIA Rosak Lagi, Kena Jalan Di Trek

SEPANG – Faktor usia terlalu tua dipersalahkan sehingga menyebabkan kerosakan terkini operasi rutin aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kelmarin.

Insiden kira-kira pukul 5.3o petang Isnin itu mengakibatkan kira-kira 20 orang penumpang yang kebetulan berada dalam tren itu terpaksa berjalan kaki di landasan kereta api tersebut untuk menuju ke bangunan terminal utama.

Malahan rakaman video amatur berdurasi selama 30 saat yang diambil oleh salah seorang penumpang itu kemudian menjadi tular apabila dimuat naik menerusi media sosial sekali gus menjejaskan imej kehebatan KLIA sendiri.

Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali berkata kedua-dua kereta api sedia ada yang telah beroperasi selama hampir 20 tahun itu sepatutnya perlu segera dibaik pulih.

Bagaimanapun ujar beliau, kerja baik pulih utama hanya dapat dilakukan terhadap tren tanpa pemandu dengan tiga gerabak model Bombardier Innovia APM 100 yang mula digunakan sejak 1998 itu; menjelang akhir tahun ini.

“Kami kini sebenarnya sudah separuh jalan melaksanakan kerja penyelenggaraan berat ke atas dua buah kereta api berkenaan,” kata Badlisham selepas mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi akhbar The New Straits Times.

Mengenai kerosakan terkini, beliau berkata seorang jurutera berada di tapak kejadian satu minit selepas menerima amaran kecemasan. Namun, penumpang telah buka sendiri pintu dan mula berjalan di trek sebelum jurutera tiba.

“Lima penumpang bagaimanapun tetap berada di dalam tren seperti yang dapat dilihat dalam video itu.┬áSebagai mana prosedur operasi standard, sepatutnya ada pengumuman, tetapi penumpang tidak sabar menunggu bantuan.

“Mereka mula berjalan tanpa pemantauan dan ini sebenarnya adalah berbahaya,” kata Badlisham sambil menambah bahawa jurutera bertugas kemudiannya berjaya memandu kereta api itu ke terminal induk KLIA secara manual.

Ini merupakan insiden kerosakan aerotrain yang kedua dalam masa tiga bulan. Beliau berkata kes pertama turut menyaksikan penumpang melakukan perkara sama berjalan di trek sebelum jurutera tiba menangani masalah.

Sebagai penyelesaian jangka segera, Badlisham berkata, jurutera MAHB akan ditempatkan secara berkala di kereta api untuk memastikan tidak ada lagi kejadian tren tergendala seperti itu berulang pada masa hadapan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi menggesa pihak MAHB agar dapat menyelesaikan isu kerosakan aerotrain ‘usang’ berkenaan secepat mungkin untuk mengelakkan kejadian sama.

Bagaimanapun beliau menegaskan, meskipun kerosakan yang dilaporkan itu di luar jangkaan, kereta api tersebut masih boleh digunakan selama lima tahun lagi kerana kerja penyelenggaraan telah dilakukan mengikut jadual.

“Kadang-kadang masalah mekanikal berlaku yang tiada kaitan dengan haus dan lusuh,” ujar Abdul Aziz. Aerotrain itu mampu bergerak sehingga 56 kilometer sejam di atas trek sejauh 1.2 kilometer. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...