ADUN Semenyih Meninggal, PRK Ke-4 Di Selangor

TAKZIAH… Selangor bakal saksi pilihan raya kecil (PRK) keempat pasca pilihan raya umum (PRU) apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Mohd. Bakhtiar Mohd. Noor meninggal.

Allahyarham disahkan kembali ke rahmatullah dalam usia 57 tahun di Hospital Kajang pada pukul 4.45 pagi ini akibat sakit serangan jantung, menurut kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah.

Jenazah kemudiannya dibawa pulang ke rumah keluarganya di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, dan akan disembahyangkan selepas solat fardu Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir.

“Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd. Bakhtiar Mohd. Nor. Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan golongan yang soleh. Al-Fatihah,” kata Borhan.

Mohd. Bakhtiar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), hanya sempat jadi wakil rakyat Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abdul Aziz, daripada Barisan Nasional (BN).

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei tahun lalu, beliau yang merupakan Ketua Bahagian PPBM Hulu Langat itu peroleh 23,428 undi dalam saingan empat penjuru dengan menang majoriti hanya 8,964 undi.

Pemergian allahyarham bakal menyaksikan Selangor sekali lagi berdepan PRK buat kali keempat selepas kerusi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong yang pernah diadakan sepanjang tahun lalu. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...