ADUN Pemanis Tinggalkan PKR, Jadi Bebas

ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fat Full, mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi ADUN Bebas mulai hari ini.

Dr. Chong, 60, yang menyertai PKR sejak 2009, berkata beliau sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong gabungan baharu yang diterajui Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

“Saya mengumumkan keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kepimpinan Hasni.

“Keputusan ini saya putuskan pagi tadi dan ia diambil tanpa sebarang tekanan, paksaan mahu pun ditawarkan apa-apa ganjaran kewangan mahu pun jawatan.

“Ia satu keputusan yang memedihkan, sudah saya pertimbangkan cukup matang dan mendapat sokongan daripada penyokong, keluarga dan rakan seperjuangan.

“Saya seorang profesional. Saya menyertai politik kerana ia platform untuk berkhidmat kepada rakyat. Lebih 30 tahun berkhidmat sebagai doktor pergigian, saya hanya memberi perkhidmatan kepada kira-kira 20,000 orang.

“Bagaimanapun, menerusi platform ini (politik), lebih ramai rakyat saya boleh berikan perkhidmatan,” katanya pada sidang media bersama Hasni di Pejabat Menteri Besar, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr. Chong menafikan khabar angin yang mendakwa beliau akan meninggalkan PKR malah menyatakan untuk terus setia bersama parti dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau menang kerusi DUN Pemanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 363 undi apabila memperoleh 8,304 undi untuk menewaskan Koo Shiaw Lee daripada BN yang memperoleh 7,941 dan Normala Sudirman dari PAS yang mendapat 2,151 undi.

Jumaat lalu, Hasni yang juga ADUN Benut, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 di Istana Bukit Serene, selepas memperoleh majoriti mudah iaitu 28 ADUN menyokongnya, manakala PH pula hanya meraih sokongan 26 ADUN.

Ditanya sama ada Dr. Chong perlu membuat bayaran pampasan kepada PKR berikutan tindakannya keluar parti itu, beliau bagaimanapun tidak pasti dengan hal itu.

Ia sebagaimana yang didakwa berlaku kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Halim Bachik menerusi perjanjian antara semua ADUN dan Ahli Parlimen PKR ketika dipilih sebagai calon mewakili parti berkenaan dalam PH pada PRU-14, pada Mei 2018.

“Saya pun tidak pasti apa Akuan Bersumpah (SD) yang ditandatangani.

“Apa-apa pun saya akan hadapi. Pada ketika itu, keadaan sangat huru-hara. Namun, saya akan hadapinya walau apa pun,” katanya. – BH Online

Loading...