ADUN Meru Didenda RM1,800 Kerana Menghasut

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,800 terhadap ADUN Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar atas sabitan menyebut kata-kata menghasut berhubung tuntutan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri protes jalanan #KitaLawan pada 2015.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengerusikan panel tiga hakim menggantikan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen kepada denda terhadap Mohd. Fakhrulrazi, 39, selepas membenarkan rayuannya untuk menggantikan hukuman penjara kepada denda.

“Mahkamah membenarkan rayuan perayu (Mohd. Fakhrulrazi) terhadap hukuman penjara dan menjatuhkan hukuman denda RM1,800, gagal bayar enam bulan penjara. Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan,” kata Hakim Umi Kalthum yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan.

Mohd Fakhrulrazi, yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) yang berdiri dalam kandang tertuduh mengucapkan “syukur Alhamduillah” selepas mendengar keputusan itu.

Mohd. Fakhrulrazi, yang juga bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak rayuannya ke atas hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada 27 Februari 2018, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah mengekalkan hukuman penjara lapan bulan itu selepas mendapati hukuman itu adalah selamat untuk dikekalkan dan ianya memadai serta tidak terlampau berat dan tidak terlampau ringan.

Pada 25 Ogos 2016, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Mohd. Fakhrulrazi selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut di hadapan Kompleks Sogo di sini, pada pukul 4.30 petang, 21 Februari 2015.

Hakim Shamsudin Abdullah dalam penghakimannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu kerana perkataan hasutan yang digunakan Mohd. Fakhrulrazi mendatangkan kebencian dan ketidaksetiaan terhadap pentadbiran negara.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Mohd. Fakhrulrazi, yang juga penceramah bebas, sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin sementara semua rayuannya diputuskan. – BERNAMA

Loading...