ADUN Ketari Berkelah, Polis Belum Terima Laporan

SEPANG – Polis belum menerima laporan berhubung penyebaran gambar perkelahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi berkata, siasatan akan dimulakan selepas menerima laporan polis berhubung perkara itu.

“Kami masih menunggu laporan dibuat oleh mana-mana pihak dan selepas itu barulah siasatan boleh diadakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Young Syefura yang bersedia disiasat jika tindakannya melanggar sebarang prosedur operasi standard (SOP).

Gambar perkelahan ADUN dari DAP itu menerima pelbagai reaksi selepas ia dimuat naik ke Instagram, memaparkan dirinya dan empat yang lain berkelah di sebuah pantai di Avani Sepang Goldcoast Resort, Bagan Lalang, Sepang.

Kelmarin, media melaporkan, Young Syefura memohon maaf selepas netizen menuduhnya melanggar SOP (PKPB) yang berkuat kuasa di Selangor.

Bagaimanapun, gambar itu kemudian dipadamkan selepas ia tular di media sosial dan menerima desakan sebilangan netizen supaya Young Syefura untuk meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Young Syefura juga menjelaskan, walaupun berkhidmat sebagai ADUN di Pahang tetapi beliau bermastautin di Selangor.

Pelaksanaan PKPB di Selangor, bermula pada 14 Oktober lalu, melarang pergerakan antara negeri dan daerah kecuali untuk tujuan kerja dan kecemasan.

Turut dilarang aktiviti berkelah berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain aktiviti pelancongan membabitkan perjalanan masuk dan keluar dari kawasan PKPB. – myMetro Online