ADUN Dengkil Sah Negatif Dadah

POLIS mengesahkan ujian patalogi yang dijalankan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah didapati negatif.

Selain ADUN berkenaan, ujian patalogi turut dijalankan ke atas beberapa individu lain susulan serbuan di sebuah kondomonium di Puchong, Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, ujian patologi sampel air kencing Adun dan beberapa individu lain didapati negatif.

“Sebahagian daripada individu berkenaan didapati positif namun Jabatan Peguam Negara memutuskan mereka tidak akan didakwa.

“Kes itu dikelaskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, pada 13 Januari lalu, Adhif bersama 16 individu lain ditahan dalam serbuan di kondominium berkenaan kerana dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Pengarah JSJN sebelum ini Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dilaporkan berkata, walaupun ujian awal mendapati keputusannya positif, mereka harus menunggu keputusan ujian patologi untuk pengesahan.

Polis sebelum ini berkata, 16 daripada 17 individu yang ditahan positif dadah.

Adhif pada mulanya menafikan ditahan tetapi kemudian berkata, beliau berada di tempat yang salah pada masa yang salah.

Minggu lalu, Adhif dan tiga lagi ADUN Bersatu Selangor mengumumkan menyokong Pakatan Harapan negeri. – myMetro Online

Loading...