ADUN DAP Paul Yong Umum Kembali Bertugas

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong hari ini mengumumkan kembali bertugas sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak semula.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Menteri Besar menyokong saya supaya kembali bertugas seperti biasa. Semua penugasan pentadbiran akan kembali seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media hari ini.

Choo Kiong hari ini membuat penampilan pertama selepas mengumumkan cuti daripada menjalankan tugas rasmi sejak 25 Ogos lalu dengan menjawab soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Pada 25 Ogos lalu, beliau membuat keputusan itu bagi memberi tumpuan terhadap perbicaraan atas pertuduhan rogol yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Untuk rekod, Paul Yong berusia 49 tahun itu berdepan tuduhan merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu. – Sinar Harian

Loading...