ADUN Bawa Anak, Isteri Atas Pentas Dipertikai

SABAK BERNAM – Tindakan ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman yang membawa isteri dan anaknya di tempat duduk tetamu atas pentas dalam majlis rasmi sekolah dianggap tidak menghormati protokol.

Seorang pengendali Facebook menggunakan akaun nama, Iqbal Khalid dalam statusnya mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut.

Menurutnya, Ahmad Mustain seharusnya menghormati program rasmi terbabit memandangkan sudah hampir setahun menjadi wakil rakyat.

“Tak ada sesiapa yang ajar beliau tentang protokol?

“Kalau kurang masa dengan keluarga, carilah masa pergi bercuti,” tulisnya.

Status dimuat naik itu menerima sebanyak 124 pelbagai tanda, 37 komen dan dua perkongsian.

Ahmad Mustain dalam komen balasnya pada status itu berkata, membawa isteri dan anak ke pentas tidak menjadi satu kesalahan.

“Cuba baca pekeliling yang melarang. Tak usahlah nak jadikan isu perkara yang tak ada isu pun,” katanya.

Ahmad Mustain memberitahu, dia membawa isteri dan anaknya itu selepas mereka menghadiri majlis kenduri kahwin.

“Alhamdulillah hari Ahad pun bertugas,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Mustain yang dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tak mahu memberikan apa-apa komen tentang hal ini,” katanya. – Sinar Harian

Loading...