Aduan Kes Penipuan Dalam Talian Kedua Tertinggi

PUTRAJAYA – Aduan kes penipuan dalam talian semakin meningkat dan kini menjadi aduan kedua tertinggi selepas aduan peningkatan harga barang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Secara purata, katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menerima 25 peratus aduan daripada pengguna mengenai kes penipuan dalam talian pada setiap bulan manakala kenaikan harga barang pula 35 peratus.

“Dulu aduan pengguna tentang penipuan dalam talian berada pada kedudukan ketujuh atau lapan, tetapi kini sudah di posisi kedua di belakang aduan peningkatan harga barang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan.

Saifuddin berkata, peningkatan drastik itu berlaku dalam tempoh setahun dan ia perlu diberi perhatian seiring trend perniagaan e-dagang yang semakin berkembang.

Beliau berkata, e-dagang adalah satu trend perniagaan yang baik dan tidak boleh disekat tetapi ia tetap mempunyai implikasi tertentu kerana peniaga dalam talian tidak terikat dengan etika perniagaan yang sihat.

Loading...