Adib Tiada Dalam Jentera Ketika Keluar Dari Rusuhan

SHAH ALAM – Saksi kedua inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, dilihat sebak ketika di kandang saksi sewaktu memberi keterangan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Pemandu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Md Elliza Mohd Noor, kelihatan sebak ketika melihat dokumen dan gambar Muhammad Adib yang ditunjukkan kepadanya.

Beliau dilihat beberapa kali menyeka air mata sambil menundukkan wajah ketika menyelak dokumen berkenaan.

Terdahulu, Md Elliza, 36, menyambung memberi keterangan selepas prosiding inkues berhenti rehat pada jam 1 tengah hari tadi.

Anggota bomba itu berkata, selepas berjaya membawa jentera FRT keluar dari kumpulan orang awam itu, beliau terus menuju ke Balai Polis USJ 8.

Katanya, ketika itu beliau mendengar pemandu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Shahril Osman memaklumkan kepada penyelia bahawa Muhammad Adib tidak ada di dalam kenderaan EMRS.

“Kami cuba hubungi Muhammad Adib beberapa kali tetapi tidak berangkat.

“Selepas 15 ke 20 minit kemudian, ada orang awam menggunakan telefon Muhammad Adib menghubungi kami dan memaklumkan dalam perjalanan ke SJMC (Pusat Perubatan Subang Jaya),” katanya.

Pagi tadi, selain Md Elliza, Ketua Bahagian Siasatan Trafik Subang Jaya, Deputi Superintendan Mohamad Nasir Drahman, yang menjadi saksi pertama turut memberi keterangan dalam prosiding hari pertama inkues itu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN). – BH Online

Loading...