Adib Mungkin Ditarik Keluar Daripada Van EMRS

SHAH ALAM – Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid merumuskan bahawa Muhammad Adib Mohd. Kassim mungkin ditarik keluar daripada tempat duduk penumpang hadapan semasa rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman dekat Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

Beliau yang hadir sebagai saksi ke-29 tadi berkata, selain ditarik, mangsa berkemungkinan dihentak ke pintu van oleh sekurang-kurangnya tiga individu hingga mengakibatkan tujuh tulang rusuk belakang kirinya patah dan lebam pada paru-paru kiri.

Beliau memberitahu, rumusan dibuat berdasarkan luka sagat di dada kanan, belakang pinggang dan kepatahan tulang pada rusuk Muhammad Adib selain beberapa butang baju putus.

Menurutnya, kesan luka pada bahagian badan juga berpunca daripada daun pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah diterajang menyebabkan luka sagat dan patah tulang tulang rusuk di dada kanan pada atas dan lebam paru-paru kanan.

“Daun pintu EMRS juga sekali lagi diterajang menyebakan dua kesan lebam pada bahagian hadapan atas lengan kanan.

“Bahagian belakang kiri badan mangsa ditolak dengan kuat mengenai bahagian sisi menegak daun pintu menyebabkan patah tulang-tulang rusuk kiri posterior dan lebam paru-paru kiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Syazlin Mansor dihadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Katanya, mangsa mati akibat kecederaan parah paru-paru kiri dan kanan kerana hentakan- hentakan trauma tumpul.

“Hentakan trauma tumpul ini adalah bukan akibat perbuatan diri sendiri tetapi akibat perbuatan dua atau lebih orang lain,” ujarnya. – K! ONLINE

Loading...