Adakah Kerajaan Sudah Mula Panik?

KERAJAAN baharu Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan tanda-tanda sedang panik kerana janji menggunung yang ditawarkan sebelum menang pilihan raya lalu.

Kerajaan seolah-olah baru menyedari ketiadaan hasil daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyukarkan pelaksanaan program yang dijanjikan.

Tahap panik ini mungkin tidak seteruk mana, dan tidak sepatutnya kita memperbesarkan dakwaan seperti ini, seperti mana PH memperbesarkan tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Tetapi daripada apa yang diucapkan oleh pemimpin kerajaan dan laporan-laporan media, ada banyak tanda kerajaan sedang bertungkus-lumus mencari jalan mencukupkan kewangan negara selepas GST yang menjadi penyumbang besar disifarkan bermula Jun.

Tanda-tanda keyakinan terhakis terhadap kerajaan baru sudah dapat dilihat apabila ramai pelabur lari dan menarik keluar modal mereka.

Ini satu tanda yang besar, kerana ia tidak berlaku semasa zaman Najib, sepanjang beliau dikatakan menjual kedaulatan negara, membawa negara menuju kebankrapan dan sebagainya.

Tanda-tanda pelabur hilang keyakinan ini berlaku selepas kerajaan baru berkuasa. Jangan kita lupa, misi kerajaan baru ini ialah “selamatkan Malaysia”.

Jadi apa sebenarnya yang diselamatkan sekarang ini? Ekonomi diakui dalam keadaan baik, berkembang dan dengan fundamental yang kukuh.

Nampaknya kena ada pula pihak yang terpaksa selamatkan kerajaan yang mahu selamatkan Malaysia ini.

Tempoh hari, ada berita tentang penyenaraian salah satu syarikat Petronas, yang dipercayai bertujuan menambah pendapatan.

Sebelum itu, puluhan ribu ditamatkan perkhidmatan, kerana mahu mengurangkan pembayaran gaji daripada wang negara.

Yang paling sedikit tapi paling besar gimiknya ialah pemotongan gaji sebanyak 10 peratus di kalangan menteri.

Pendapatan yang perlu ditampung dari ketiadaan hasil GST melebihi RM40 bilion, bukan satu jumlah yang kecil yang boleh ditampung dengan mengurangkan kos di sana sini.

Hasil pendapatan yang besar perlu ditampung dengan hasil pendapatan lain yang setara, dan penjimatan perbelanjaan bukan caranya.

Sekarang macam mana pula penurunan harga minyak petrol hendak dilaksanakan? Bagaimana pula dengan tol yang janji hendak dimansuhkan itu?

Jawablah dengan fakta, jangan kerahkan pula penulis cerpen upahan untuk membuat orang menangis di bucu katil dan terus lupa daripada menuntut janji manifesto PH. – Mynewshub.cc