Abu Zahar Dukacita Tindakan Enam Anggota LPPR

48

PUTRAJAYA : Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang melahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan media oleh enam anggota LPPR pada 8 Januari lalu.

Menurutnya, beliau percaya kenyataan media itu dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada satu golongan pihak.

“Saya dapati kesemua enam anggota LPPR itu telah mengadakan mesyuarat terlebih dahulu pada 8 Januari lalu tanpa memberitahu saya sebelum mengeluarkan kenyataan media.

“Saya berpendapat kenyataan media yang dibuat oleh enam anggota LPPR itu amatlah dikesali.

“Kami, (LPPR) sebenarnya telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan perjumpaan tertutup pada hari ini pukul 10 pagi di Pejabat Akademi SPRM, Jalan Duta, Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.

Sebelum ini, enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) memaklumkan, kenyataan Abu Zahar berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu.

Enam anggota LPPR itu termasuk Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr. Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Dalam pada itu, Abu Zahar berkata, beliau menegaskan bahawa siasatan berkaitan dakwaan salah laku membabitkan Azam masih terbuka untuk diteruskan.


“Saya tidak langsung berhasrat untuk menghalang siasatan lanjut itu, malah digalakkan atas konsep kedaulatan undang-undang supaya nama baik SPRM sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Abu Zahar berkata, beliau menyerahkan kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan kedudukannya selepas ini sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

“Sekiranya kenyataan media saya pada 5 Januari lalu menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya, maka saya serahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukan saya selepas ini.

“Saya juga bersedia untuk mana-mana pihak atau organisasi menyiasat saya pada bila-bila masa.

“Sebagaimana saya tegaskan dari mula lagi, lebih penting ialah kedudukan institusi SPRM ini mendapat sokongan rakyat yang tujuan utamanya memerangi gejala rasuah dan salah laku,” katanya.

-Utusan Online