Abu Kassim Nafi Dilantik Sebagai KSN Baru

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abu Kassim Mohamed menafikan khabar angin bahawa beliau bakal dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu seperti yang dilaporkan oleh media tempatan baru-baru ini.

Beliau yang baru sahaja dilantik sebagai Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) pada 1 Jun lalu berkata, tumpuan penuhnya kini terarah kepada membangunkan agensi berkenaan.

Jelas Abu Kassim, beliau tidak berminat untuk menjawat jawatan lain dan telah pun memaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai perkara itu.

“Saya sendiri memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa saya mahu fokus kepada usaha membangunkan GIACC yang amat diperlukan oleh negara dan tidak mahu sebarang jawatan lain termasuk KSN.

“Bagi saya kedudukan sebagai ketua Pengarah GIACC sangat penting dalam menjayakan agenda memerangi rasuah dan melahirkan persekitaran tadbir urus baik dan integriti,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Tan Sri Abu Kassim Mohamed

Oleh itu, Abu Kassim berharap beliau akan menerima sokongan  dan kerjasama daripada semua pihak termasuklah organisasi media dalam menjayakan matlamat GIACC.

Buat masa ini, beberapa jabatan dan agensi telah diletakkan di bawah GIACC termasuklah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN); Institut Integriti Malaysia (IIM); Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

GIACC ditubuhkan bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini, selain berperanan merumuskan dasar pembaharuan anti-rasuah dalam perkhidmatan awam.

Sebelum ini, akhbar berkenaan memetik sumber yang tidak dinamakan melaporkan bahawa Abu Kassim akan menggantikan Tan Sri Dr. Ali Hamsa sebagai KSN dalam tempoh terdekat.

Baca: Abu Kassim Mungkin Ganti Ali Hamsa Sebagai KSN

Ali dijadualkan bersara pada penghujung Ogos depan selepas perkhidmatannya disambung secara kontrak ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas laporan itu lagi, GIACC yang diketuai Abu Kassim berkemungkinan akan diletakkan di bawah KSN sekiranya cadangan perlantikan tersebut diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, atas nasihat perdana menteri. – MYNEWSHUB.CC

Loading...