Abu Kassim Mungkin Ganti Ali Hamsa Sebagai KSN

BARU sahaja dilantik sebagai ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), nama Tan Sri Abu Kassim Mohamed sekali lagi disebut bakal memegang jawatan utama dalam sektor kerajaan.

Lapor Sinar Harian, Abu Kassim dijangka bakal menggantikan Tan Sri Dr. Ali Hamsa sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam tempoh terdekat ini.

Ali, yang kini berusia 63 tahun dijadualkan bersara pada Ogos depan selepas perkhidmatannya disambung secara kontrak ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tan Sri Dr. Ali Hamsa

Jelas laporan itu lagi, GIACC yang diketuai Abu Kassim berkemungkinan akan diletakkan di bawah KSN sekiranya cadangan perlantikan tersebut diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, atas nasihat perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Laporan itu, memetik sumber, berkata keadaan tersebut akan membuatkan KSN lebih fokus dengan komitmen kerajaan untuk membasmi rasuah dari semua peringkat.

”Pemilihan Abu Kassim dibuat sebagaimana kata-kata Dr. Mahathir sebelum ini yang mahu kepakaran beliau membasmi rasuah.

”Beliau ada banyak pengalaman dalam SPRM. Beliau juga berpengalaman di peringkat antarabangsa dan berhubung dengan beberapa agensi anti rasuah lain, selain banyak memberi syarahan antirasuah,” katanya.

Tambahnya, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dijangka dilantik secara rasmi pada awal Julai ini.

Kontrak Abu Kassim di agensi berkenaan sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018, namun beliau sebelum ini mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk menamatkan perkhidmatannya lebih awal pada 1 Ogos 2016, selepas tiga kali memohon.

Tan Sri Abu Kassim Mohamed

Antara punca Abu Kassim memilih untuk menamatkan perkhidmatan awal dengan SPRM adalah kerana tawaran yang diterimanya daripada International Anti-Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di Universiti Pencegahan Rasuah di Austria.

Jawatan yang ditinggalkan beliau di SPRM kemudiannya diisi oleh Tan Sri Dzulkifli Ahmad di waktu negara dilanda kemelut 1MDB dan juga siasatan SRC International.

Pada 1 Jun lalu, Abu Kassim dilantik menjadi ketua pengarah GIACC yang berperanan merumuskan dasar pembaharuan anti-rasuah dalam perkhidmatan awam. – MYNEWSHUB.CC

Loading...