Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

APMM Pindah Pesakit Menerusi...

SERDANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan penerbangan ihsan awal pagi terhadap...

COVID-19: Jeffrey Diberi Pelepasan...

KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan telah diberi...

Kerajaan Laksana Perundangan Wajar...

PETALING JAYA – Kerajaan tidak berdiam diri berkenaan isu arahan pembayaran pampasan berjumlah...

Putera Bongsu Yang Di-Pertuan...

SEREMBAN – Putera bongsu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Yang Amat Mulia Tunku Alif...

Abdul Wahab: Ulat Keluar Dari Pahanya

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

PAGI itu, entah kenapa Abdul Wahab Abdul Hamid terasa malas untuk keluar rumah. Baginya duduk di kerusi di ruang tamu rumahnya terasa begitu enak sekali. Sudah lama dia tidak berehat sebegitu.

Sekali-sekala pandangannya dilemparkan ke jendela. Dia kemudiannya bangun, lalu membuka jendela tersebut.

Sebaik jendela terbuka luas, lelaki berusia 77 tahun itu mula menggeliat. Lepas itu matanya galak memerhati keindahan alam sekeliling.

Seketika pandangannya terpaku pada batu-batu nisan tanah perkuburan yang terletak di sebelah rumahnya. Di tenung lama-lama batu tersebut. Tanpa disedari batu nisan itu mula mengembalikan nostalgianya kepada satu peristiwa silam yang menyaksikan nyawanya hampir melayang di tangan komunis durjana.

“Jika bukan kerana pertolongan Allah mungkin dulu lagi aku sudah disemadikan di tanah perkuburan ini,” bisik hatinya.

Abdul Wahab masih ingat peristiwa hitam yang ditempuhinya pada 25 April 1950 sewaktu berkhidmat di Kompeni D, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu.

Pada tarikh itulah dia bersama 24 rakan lain dalam satu platun yang diketuai oleh Leftenan Hassan Yassin diserang hendap di Sungai Semur, berhampiran Pulai, Gua Musang, Kelantan oleh gerombolan 250 orang pengganas komunis.

Waktu itu mereka sedang dalam perjalanan balik ke Pulai selepas melakukan tugas-tugas rondaan di sekitar kawasan Gunung Ayam selama tiga hari.

Walaupun dihujani peluru dari pelbagai penjuru, namun pasukan keselamatan tetap memberi tentangan hebat pada pertempuran yang bermula kira-kira pukul 10 pagi itu sehinggalah ia berakhir pada pukul 2.30 petang. Dalam pertempuran itu, seramai 29 musuh telah berjaya dibunuh manakala pasukan keselamatan kehilangan 15 anggotanya.

Abdul Wahab sendiri mengalami kecederaan parah apabila kedua-dua pahanya tembus ditembak sebutir peluru musuh. Biarpun dalam kesakitan, namun dia masih terdaya meniarap dan menembak mati empat orang musuh yang cuba merampas senjata daripada mayat Prebet Omar yang berada kira-kira 30 meter darinya.

Ketika itu jam menunjukkan kira-kira pukul 1 tengah hari. Melihat empat rakan mereka terbunuh, gerombolan musuh yang berada di kawasan bukit berhampiran telah membaling bom tangan ke arah Abdul Wahab yang berada di seksyen paling belakang dalam platun tersebut bersama Omar dan Prebet Salleh yang telah pun terkena tembakan di peha dan lengan.

“Bom itu telah menyebabkan kaki kiri saya cedera parah. Nasib baik ia tidak putus. Kesakitan juga menyebabkan saya tidak dapat bergerak,” katanya.

Selepas bertempur selama empat jam setengah dengan penuh berani, 15 anggota pasukan keselamatan termasuk Hassan terbunuh. Beberapa yang lain cedera parah termasuk Abdul Wahab.

Ditawan Musuh

Disebabkan jumlah musuh yang terlalu besar, akhirnya mereka terkepung dan ditawan oleh pengganas komunis.

Apa yang mengejutkan ialah musuh hanya menahan mereka selama kira-kira dua jam sahaja. Selepas mengambil semua senjata dan peralatan pasukan keselamatan di samping mengkebumikan mayat rakan-rakan mereka, ketua musuh akhirnya mengarahkan perajurit Askar Melayu yang masih hidup meninggalkan segera kawasan itu jika mahu selamat.

Bagaimanapun, mayat anggota pasukan keselamatan dibiarkan begitu sahaja.

Bom itu telah menyebabkan kaki kiri saya cedera parah. Nasib baik ia tidak putus. Kesakitan juga menyebabkan saya tidak dapat bergerak.

Musuh juga sempat memberi amaran meminta pasukan keselamatan tidak lagi mengganggu aktiviti mereka.

Pada pukul 6 petang, Koperal Jamaluddin Mohamad yang merupakan pemangku sarjan platun ketika itu bersama tujuh anggota yang lain termasuk mereka yang cedera mengambil keputusan untuk pulang ke Pulai untuk mencari bantuan.


Abdul Wahab dan Prebet Rashid terpaksa ditinggalkan bersama mayat anggota pasukan keselamatan kerana kedua-duanya tidak mampu berjalan.

Dalam perjalanan pulang, dua daripada mereka iaitu Prebet Mohamad dan Prebet Osman meninggal dunia menjadikan jumlah perajurit yang terkorban seramai 17 orang. Perjalanan dari kawasan pertempuran ke Pulai mengambil masa selama enam jam. Malam itu, Abdul Wahab dan Rashid tidak mampu berbuat apa-apa kecuali berdoa kepada Allah agar nyawa mereka dipanjangkan serta tidak diganggu binatang buas. Badan mereka juga semakin lemah kerana kehilangan banyak darah.

“Saya juga hanya mampu membaca surah al-Ikhlas berulang kali. Rasa sakit memang sudah tidak terasa tetapi rasa dahaga Allah sahaja yangtahu,” katanya yang menyertai tentera pada tahun 1948.

Mereka tidak minum atau makan apa-apa malam itu. Untuk tidur juga susah kerana langau semakin banyak menghinggapi anggota badan mereka yang cedera.

“Langau itu perlu dihalau selalu kerana ia menghisap darah dan membahayakan kecederaan kami,” ujarnya.

Tengah hari esoknya, Jamaluddin tiba bersama satu lagi platun di bawah Kompeni D. Pasukan bantuan itu dengan bantuan beberapa pencari daun nipah berbangsa Cina kemudiannya membuat rakit untuk membawa pulang kesemua mayat anggota pasukan keselamatan.

Abdul Wahab dan Rashid pula diusung secara bergili-gilir oleh rakan-rakan. Akhirnya lebih kurang pukul 8 malam, dalam keadaan bersusah payah mereka tiba di kem sementara di Pulai.

Disebabkan kecederaan Abdul Wahab semakin serius, pagi esoknya dia dikehendaki menaiki sebuah kapal terbang kecil dua penumpang untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kota Bharu manakala Rashid menaiki sebuah pesawat yang lain.

Ketika dalam penerbangan, Abdul Wahab terasa ada sesuatu yang sedang bergerak di paha kirinya. Lama-kelamaan, rasa geli semakin bertambah.

Disebabkan ingin tahu apa yang terdapat dalam seluarnya, lalu diselak seluarnya sehingga menampakkan paha.

“Alangkah terkejutnya saya masa itu apabila seekor ulat keluar dari celah daging paha saya yang telah busuk selepas terkena tembakan musuh sebelum itu,” katanya yang menerima pingat keberanian DCM daripada British beberapa bulan selepas itu.

Tiba di hospital, doktor yang merawat kemudiannya menjumpai beberapa ekor lagi ulat pada daging paha kirinya.

Disebabkan ada bahagian daging pahanya mula busuk, Abdul Wahab terpaksa dirawat selama 21 hari di hospital.

Selepas sembuh, dia tidak mampu lagi melakukan kerja-kerja berat dan akhirnya pada tahun 1955 Lans Koperal Abdul Wahab mengambil keputusan berhenti dan pulang ke kampung halamannya di Kuala Pilah. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Kategori