Abdul Razak: Hampir ‘Tewas’ Di Chaukhamba II

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

BARU beberapa minit terjaga dari tidur pagi itu, darah Koperal Abdul Razak Othman tiba-tiba sahaja menyirap. Panas hatinya juga semakin membara.

Meskipun suhu di Gunung Chaukhamba II di utara India, berada di bawah paras beku, namun rasa sejuk yang menggigit seperti tidak dirasai langsung olehnya lantaran rasa marah yang terbit.

Semuanya bertitik tolak daripada kehilangan sebungkus mi segera dan sepeket kopi yang diletakkannya di tepi khemah.

“Kalau tidak ada yang mengambilnya masakan boleh hilang. Ini tentu kerja mereka yang hendak cari fasal dengan aku,’’ rungut Abdul Razak sambil cuba-cuba juga mencari makanan tersebut di keliling khemahnya sekali lagi, takut tersalah letak.

Setelah puas menyelongkar khemahnya, beliau pasti mi segera dan kopi tersebut telah lesap.

Apabila ditanya kepada rakan-rakan yang turut berkhemah bersamanya di atas gunung yang terletak di tengah Banjaran Himalaya itu, semuanya menggeleng kepala sekali gus menjadikan beliau semakin panas dan sedikit bingung.

Kalau bukan rakan-rakan sendiri yang mengambilnya, siapa lagi yang ada di situ. Pendaki atau kumpulan lain memang tiada di tempat mereka berkhemah.

Takkan ada makhluk lain pula di atas gunung yang dipenuhi lautan salji putih itu berminat dengan mi segera dan kopi yang dibawanya.

Yang buat beliau terasa marah sangat ialah itulah satu-satunya bekalan yang ada untuknya mengalas perut hari itu.

Naik Angin

Dan dalam keadaan lapar, sudah tentu sesiapa sahaja mudah naik angin lebih-lebih lagi di saat perlu melakukan tugas berat.

Disebabkan tidak puas hati kerana masih tidak tahu siapa yang mencuri bekalannya, Abdul Razak akhirnya melakukan penyiasatan untuk menangkap pencuri terbabit.

Perkara pertama yang dilakukannya ialah cuba mengesan tapak kaki atau kasut yang berada di sekitar khemahnya. Sebaik terpandang, satu kesan tapak kaki di atas permukaan salji, hatinya sedikit gembira.

Tetapi apabila diamati tapak kaki tersebut, rasa pelik mula menyelubunginya.

“Kalau ini tapak kaki manusia takkan ia kecil sangat? Ini makhluk mana ni?’’ satu demi satu persoalan mula bermain di fikiran anggota komando Gerup Gerak Khas ini.

Untuk kepastian, Abdul Razak mengikut kesan jejak yang dijumpainya itu.

Selepas beberapa ketika berjalan, beliau ternampak kelibat sesuatu yang sedang bergerak-gerak berhampiran sebuah lubang.

Keadaan itu, sedikit sebanyak menarik minat Abdul Razak untuk pergi lebih hampir ke lubang tersebut.

Sewaktu berada hanya beberapa meter dari lubang tersebut, sekali lagi beliau terkejut apabila ternampak plastik pembungkus mi segera dan peket kopinya berada di depan lubang itu.

Melihat itu, beliau pasti bahawa makhluk yang berada dalam lubang itulah yang mencuri makanannya.

“Saya ingatkan siapalah yang mencuri makanan saya. Bila berada dekat dengan lubang itu, barulah saya tahu yang makanan tersebut dicuri dan dimakan oleh sejenis musang gunung,’’ ujar beliau.

Setelah itu, barulah rasa marah Abdul Razak reda. Walaupun begitu, rasa lapar tetap menghantuinya.

Oleh kerana tiada bekalan makanan lain, maka beliau hanya meminum air panas kosong pada pagi itu sebagai pengalas perut dan pemberi tenaga sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kem Utama (Base Camp).

Dilanda Ribut

Sebelum itu, mereka berenam memang tidak merancang membawa makanan kerana percaya latihan pendakian pada hari itu akan berakhir pada hari yang sama dan tidak perlu bermalam di mana-mana.

Tetapi malang menimpa mereka, kerana ketika sibuk mendaki ribut melanda, sekali gus memaksa mereka bermalam di satu kawasan di gunung berkenaan.

Anak Perak yang berasal dari Kampung Larut Tin, Taiping ini masih ingat lagi, bagaimana pada tepat pukul 9 pagi pada suatu hari dalam bulan Oktober 1996, beliau bersama lima rakannya yang lain telah diminta mendaki Gunung Chaukhamba II setinggi hampir 4,000 meter sebagai sebahagian daripada sesi latihan Ekspedisi Pra-Everest.

Jarak perjalanan yang perlu mereka tempuhi adalah kira-kira 10 kilometer. Selepas mendaki selama kira-kira lima jam, entah macam mana ribut melanda di kawasan mereka dan berterusan selama sejam.

Selepas ribut berhenti, salji pula turun tanpa henti.

Ekoran itu, mereka terpaksa membatalkan perjalanan pulang ke Kem Utama dan mengambil keputusan bermalam sahaja di tengah perjalanan.

Memandangkan kawasan tersebut agak lapang, maka mereka terpaksa memasang khemah dengan dikelilingi ketulan salji yang digali di keliling khemah bagi memastikan mereka terlindung daripada tiupan angin kencang.

Oleh kerana suhu yang terlampau sejuk, maka tiada sebarang aktiviti yang dapat mereka lakukan pada petang dan malam itu sehinggalah fajar terbit pada keesokan harinya.

Apabila terjaga, Abdul Razak tidak menyangka pula terdapat `pencuri’ bermaharajalela berhampiran khemahnya pada malam sebelum itu.

Selepas kesemua mereka mengalas perut secara ala kadar pada pagi itu, latihan pendakian diteruskan di kawasan berkenaan dengan mendaki sebuah tebing tinggi.

Kira-kira pukul 3 petang latihan selesai dan selepas itu barulah mereka meneruskan perjalanan pulang ke Kem Utama.

“Kami ingatkan boleh tiba dalam masa tiga jam sahaja kerana berjalan menuruni gunung, tetapi apa yang berlaku umpama mimpi ngeri kepada kami semua,’’ terang Abdul Razak sambil memberitahu mereka hanya tiba di Kem Utama pada pukul 1 pagi esoknya selepas menempuh perjalanan melebihi 10 jam.

Menurutnya, ada beberapa sebab perjalanan mereka menjadi perlahan.

Pertamanya kerana gagal menemui jalan asal yang digunakan sebelum itu kerana telah ditenggelami salji yang turun.

Disebabkan itu, mereka terpaksa mengesan tanda-tanda tertentu yang dijadikan panduan sebelum memulakan pendakian.

Dalam kepenatan berjalan serta kekurangan tenaga itu, ada ketikanya air mata saya menitis. Rasa menyesal ikut ekspedisi pun ada. Ada masanya saya rasa diri saya ini bodoh kerana buat kerja tersebut. Rasa perit, letihnya Tuhan saja yang tahu. Sepanjang menjadi komando, saya tak pernah alami kesukaran seteruk itu.

Lubang Maut

Untuk mengikut laluan lain, masing-masing tidak berani kerana takut tergelincir dalam lubang atau rekahan ais yang boleh mengakibatkan maut.

Jika terjatuh dalam lubang berkenaan, risiko kematian amat besar kerana bantuan pasti lambat tiba ke tempat mereka.

Dalam kesukaran mencari jalan pulang itulah, pelbagai perkara bermain dalam fikiran Abdul Razak yang berada di depan sekali dalam kumpulan untuk mengesan jejak yang ada.

“Dalam kepenatan berjalan serta kekurangan tenaga itu, ada ketikanya air mata saya menitis. Rasa menyesal ikut ekspedisi pun ada. Ada masanya saya rasa diri saya ini bodoh kerana buat kerja tersebut.

“Rasa perit, letihnya Tuhan saja yang tahu. Sepanjang menjadi komando, saya tak pernah alami kesukaran seteruk itu,’’ katanya.

Walaupun begitu, Abdul Razak tetap berusaha menguatkan semangatnya serta melupakan kesusahan yang menimpa.

Tambahan pula, beliau sedar, lima rakan yang lain bergantung harap kepada kemahirannya sebagai komando yang berpengalaman untuk membolehkan mereka tiba ke Kem Utama dengan selamat.

Selepas menempuh perjalanan yang sukar termasuk mencari jalan pulang dalam kegelapan malam, akhirnya Abdul Razak berjaya tiba di Kem Utama pada pukul 1 pagi manakala yang lain tiba sejam kemudian dalam keadaan lemah dengan mengekori jejak Abdul Razak.

Sejak kejadian itu, beliau dan mereka yang menjalani latihan Ekspedisi Pra Everest ke gunung tersebut sentiasa beringat tentang kemungkinan yang boleh berlaku ke atas mereka demi memastikan kejadian yang sama tidak berulang.

Selepas menjalani latihan dan persediaan pendakian di gunung bersalji itu sejak 6 Oktober 1996, akhirnya pada 18 November, Abdul Razak dan anggota Ekspedisi Pra-Everest ke Gunung Chaukhamba II dan Gunung Annapurna IV di Nepal pulang serentak ke tanah air untuk meneruskan latihan.

Pada 1 Mac 1997 barulah beliau bersama 23 anggota ekspedisi Projek Malaysia-Everest `97 yang lain berlepas ke Nepal dalam usaha menakluk Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia.

Sepanjang ekspedisi di gunung setinggi 8,848 meter itu, Abdul Razak ditugaskan sebagai ahli jawatankuasa perhubungan projek.

“Saya dipilih kerana pengalaman saya sebagai anggota tentera. Untuk tugas tersebut, saya dibekalkan dengan alat perhubungan satelit untuk memudahkan komunikasi dengan pendaki dan petugas di Malaysia.

“Saya juga ditugaskan sebagai penunjuk arah pesawat dan pembaik pulih alat jana kuasa sepanjang tiga bulan berada di Kem Utama Everest,’’ katanya yang menyertai tentera pada 15 Februari 1980.

Sewaktu di situ, biasanya pada setiap minggu tiga buah helikopter akan mendarat di tempat mereka untuk penghantaran logistik dan makanan di samping tugas-tugas menghantar bahan berita Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Ada kalanya, helikopter berkenaan membawa kenamaan dari Malaysia yang hadir untuk memberi sokongan padu kepada anggota ekspedisi berkenaan.

Helikopter Terhempas

Meskipun tugas sebagai penunjuk arah pesawat agak mudah, namun Abdul Razak pernah menyaksikan bagaimana sebuah helikopter terhempas di depan matanya ketika mahu membantu pesawat tersebut mendarat di celah-celah batu gunung.

“Pada 21 Mei 1997, sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Nepal terbang berlegar-legar di Kem Utama Everest.

“Melihat itu, saya pun bersedia untuk memberi isyarat tangan bagi memudahkan pesawat itu mendarat.

“Baru saya hendak mengangkat tangan, saya lihat ia tiba-tiba seperti hilang kawalan dan beberapa minit kemudian terhempas,’’ ujar beliau.

Walaupun begitu, anggota komando berusia 42 tahun ini berkata, kedua-dua juruterbang dan seorang krew helikopter itu terselamat.

Bangkai helikopter itu, kemudiannya dibawa turun ke kaki gunung oleh para sherpa untuk dihantar ke pangkalan tentera yang berhampiran.

Meskipun, dalam ekspedisi nasional itu beliau tidak terpilih sebagai pendaki utama, namun Abdul Razak tetap gembira dengan pencapaian pasukan itu yang berjaya memacakkan Jalur Gemilang pada tanggal 23 Mei 1997 di puncak Gunung Everest.

“Ia tetap jadi kenangan paling manis dalam hidup saya kerana terlibat secara langsung dalam projek kebanggaan rakyat dan negara,’’ kata beliau yang kini merupakan Sarjan Mejar Rejimen (SMR) Rejimen 21 Komando dengan pangkat Pegawai Waran I di Kem Sungai Udang, Melaka. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.