Abang Penyerang Pisau Ditahan Tahun Lalu

SYDNEY – Polis mengenal pasti penyerang yang menikam mati seorang lelaki dalam satu serangan pengganas di Melbourne sebagai adik kepada seorang lelaki yang ditahan tahun lalu atas jenayah keganasan, kata polis Australia hari ini.

Suspek kelahiran Somalia berusia 31 tahun itu membakar sebuah trak pikap yang sarat muatan silinder gas di tengah kota Melbourne semalam dan menikam tiga orang awam sebelum ditembak polis. Seorang daripadanya maut.

Media tempatan mengenalpasti suspek berkenaan namun polis belum mengesahkan identitinya.

Pesuruhjaya Polis Victoria, Graham Ashton, dalam satu wawancara televisyen berkata, abang kepada suspek ditahan tahun lalu atas tuduhan merancang serangan di Melbourne dan kini dipenjara sementara menunggu perbicaraan.

“Dia adalah adik kepada suspek yang kami tahan lewat tahun lalu berhubung jenayah merancang aktiviti keganasan,” katanya dalam program Sunrise di Channel 7.

Video yang dimuat naik di Twitter dan disiarkan di televisyen menunjukkan suspek menghayun pisau ke arah dua pegawai polis sebelum ditembak di dada. Dia disahkan mati di hospital tidak lama selepas itu.

Australia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga peringkat tertinggi selepas insiden membabitkan sebuah kafe di Sydney pada 2014. – REUTERS/BH ONLINE

Loading...