‘Abang Botak’ Sebak Beraya Di Penjara

PETALING JAYA – Seorang pekerja stor sebak selepas terpaksa menyambut Aidilfitri di dalam penjara apabila dia dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini akibat tindakannya menghentak cermin sebuah kereta seperti yang tular di media sosial semalam.

Tertuduh, Danial Abdullah Tan, 31, atau lebih dikenali “Abang Botak” dalam kalangan netizen mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa dihadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Dia diperintahkan menjalani hukuman itu dari tarikh ditangkap iaitu semalam.

Semalam, tular satu video di media sosial mengenai seorang lelaki yang menghentak cermin kereta disebabkan rasa marah apabila dihon pemandu kereta itu berulang kali dalam satu kejadian di Sri Kembangan pada Selasa lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan mengetuk cermin hadapan kereta mangsa lelaki berusia 58 tahun itu menggunakan topi keledar sehingga rosak di Jalan Kasturi Seksyen 12 Taman Bukit Serdang Seri Kembangan, pukul 5.30 petang pada 28 Mei lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau keduanya.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam Nur Rafiuddin Mas Wari merayu agar hukuman ringan diberikan memandangkan dia merupakan penanggung nafkah isteri dan dua anaknya yang berusia tiga tahun dan setahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin kemudian meminta mahkamah memberikan hukuman berat kerana menyusahkan mangsa yang terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM600.

Nurshahira kemudiannya bertanyakan kepada tertuduh mengenai tujuannya bertindak sedemikian.

Danial menjawab, dia berasa marah selepas pengadu cuba menghimpit dan melanggarnya dua kali dan meminta pemandu kereta itu berhenti sebelum mendakwa mangsa menunjukkan isyarat jari kepadanya.

“Sebab itu saya buat keputusan bodoh itu,” katanya sebak. – K! ONLINE

Loading...