Abam Cari Netizen Biadab Pertikai DNA Anak

PELAWAK popular dan juga ahli kumpulan Bocey, Abam meluahkan rasa tersinggungnya apabila menerima komen biadab daripada salah seorang pengikutnya di laman Facebook berhubung kelahiran anak sulungnya, pada Jumaat.

“La ke? Kena check DNA tu,” tulis seorang individu pada status perkongsian berita kelahiran cahaya mata Abam.

Menurut Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 31, komen tersebut dianggap melampau dan merupakan satu penghinaan yang dahsyat buat dirinya dan isteri.

Malah Abam dalam muat naik terbaharu status Facebooknya mahu bersemuka dengan individu terbabit untuk mengetahui tujuan dia meninggalkan komen sebegitu.

“Siapa kenal pakcik ni, bagitahu saya. Saya nak jumpa dia. Ini satu penghinaan yang dahsyat. Kalau bukan DNA saya, habis anak siapa.

“Maaf saya amat tersinggung dengan komen begini. Nak cakap saya benda tu kecik ke, kura-kura ke, saya tak kisah sangat. Tapi ini satu penghinaan.

“Saya nak jumpa pakcik ni. Sangat-sangat nak jumpa,” tegas Abam.

Bagaimanapun kata Abam lagi, dia tidak berniat untuk mencari individu terbabit untuk mengasarinya, sebaliknya hanya ingin bersemuka.

“Terima kasih semua sudi bantu saya cari pakcik tu. Insya-ALLAH saya pergi jumpa beliau. Bukan niat nak gaduh, nak pukul, just nak cium pipi jer. InsyaALLAH.

“Kalau nak kata saya pendek ke, kecik ke, apa sekalipun… Saya tak terasa sangat, tapi mempertikai status anak saya seolah isteri saya berzina dengan orang lain dan saya mengaku itu anak saya, itu sangat dahsyat.

“Insya-ALLAH jangan risau saya takkan berkasar, cuma nak jumpa cium pipi jer. Semoga dipermudahkan urusan saya,” tulisnya pada status terbaharu di laman Facebook miliknya.

Abam dan isteri, Siti Norhidayah mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada Jumaat lalu. – Sinar Harian