A Kadir Tegur Menteri PH Punca Kalah PRK

DEDAH… Kekecewaan rakyat terhadap prestasi Pakatan Harapan (PH) antara penyumbang kepada kekalahan parti berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, rekod PH dalam tempoh lapan bulan pemerintahannya telah jejaskan harapan ramai penyokong parti yang paling realisitik dan setia.

Katanya, walapun PH telah ambil alih pemerintahan yang lumpuh ekonomi serta pentadbiran rasuah daripada kerajaan kleptokratik Barisan Nasional (BN), rakyat pula masih belum merasakan hasil kerja sebenar parti itu.

“Rakyat jangkakan Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara bulan lalu. Mereka namun kecewa lihat beliau berkelakuan seolah-olah masih lagi perdana menteri. Penyokongnya kembali yakin dan menjulangnya.

“Terbaharu dengan kempen ‘Malu Apa Bossku’. Tanpa halang dia dan mereka yang berkomplot dengannya dapatkan keadilan, rakyat akan lebih gembira jika mereka ke penjara atas kesalahan mereka secepat mungkin,” katanya.

A Kadir yang juga bekas ketua editor Kumpulan New Straits Times Press era Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri keempat, meluahkan perkara tersebut menerusi tulisan dalam laman blog beliau, hari ini.

Tokoh Wartawan Negara itu berkata, menteri-menteri dalam kerajaan PH juga tunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan, terutama membabitkan isu-isu rakyat marhaen yang lebih ‘dijuarai’ BN pula.

“Menteri-menteri, timbalan menteri dan pembantu politik tidak bersahabat malah tidak lagi bekerja keras macam zaman mereka jadi pembangkang.

“Sekarang mereka berada dalam kerajaan, mereka mengamalkan birokrasi, jauh dan tidak ramah. Sesetengahnya malah bertengkar dengan penyokong mereka sendiri. Ini adalah perbuatan ‘bunuh diri’,” katanya.

Mengulas mengenai PRK Parlimen itu, Kadir Jasin berkata, ketika kempen di Cameron Highlands, beliau melihat para menteri dan timbalan menteri berkumpul di meja VIP dan tidak bergaul dengan rakyat.

“Pemimpin-pemimpin PH perlu dilihat bercampur dengan rakyat lebih kerap jika mereka mahu terus berkuasa,” katanya. Malah beliau berkata, ada perkara lain yang lebih asas jadi penyumbang kepada faktor kekecewaan rakyat.

“Ini termasuk harga barang dan perkhidmatan, pengangguran dan rumah mampu milik. Saya terpaksa beri markah yang rendah kepada menteri yang bertanggungjawab untuk pengeluaran makanan, bekalan, pengangkutan, harga.

“Juga pemantauan dan penguatkuasaan. Harga makanan yang berpatutan menjadi isu. Ada kes dua orang tua dilaporkan mati di ibu negara hanya kerana mahukan kupon makanan percuma.

“Menteri yang bertanggungjawab untuk perpaduan negara, pembangunan luar bandar, pendidikan dan pelancongan juga harus sinsing lengan baju atau berdepan desakan agar mereka disingkirkan,” katanya. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...