93 Sekatan Jalan Raya Di KL, Putrajaya, Selangor

KUALA LUMPUR – Sebanyak 93 sekatan jalan raya (SJR) dilaksana di ibu negara, Putrajaya dan Selangor pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Jumlah itu membabitkan 64 SJR di Selangor, manakala 29 lagi di Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, seramai 1,600 pegawai dan anggota polis dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terbabit penugasan itu.

Beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan hanya keluar rumah sekiranya mempunyai urusan penting demi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, 29 SJR di ibu negara dan Putrajaya dilaksana berpandukan SOP ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

“Mana-mana individu yang ingkar akan diambil tindakan mengikut peruntukan perundangan sedia ada,” katanya ketika dihubungi, hari ini. 

PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya berkuat kuasa sehingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 sekali gus membendung penularan wabak itu. – myMetro Online

Loading...