9 Penguat Kuasa Didakwa 164 Pertuduhan Rasuah

SEBERANG PERAI – Sembilan anggota penguat kuasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi tujuan melindungi lori-lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Mereka ialah lapan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang bekas penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang berdepan pertuduhan yang kesemuanya berjumlah 164.

Tertuduh dari JPJ Pulau Pinang adalah Muhamad Shukri Ishak, 36, yang berdepan 16 pertuduhan, Noorzaimi Effendi Salleh, 36 (18 pertuduhan) dan Khairol Naim Mat Desa, 34 (13 pertuduhan) yang kesemuanya berjawatan Pemeriksa Kereta Motor.

Turut didakwa ialah Pembantu Penguatkuasa, Muhammad Firdaus Jaafar, 46 (33 pertuduhan), Pirdaus Abd. Karim, 34 (13 pertuduhan), M. Muniandy, 45 (15 pertuduhan), Katmi Azmi, 35 (11 pertuduhan) dan Mohd. Fairdaus Ishak, 35, (15 pertuduhan).

Seorang bekas Pembantu Penguatkuasa SPAD Wilayah Utara yang didakwa ialah Mohd. Noor Fadzny Noordin, 32, (30 pertuduhan).

Mereka bagaimanapun tidak mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima suapan daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn. Bhd. dan TSR Transport Sdn. Bhd. sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat itu yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Penangkutan Jalan 1987.

Wang suapan tersebut adalah dalam nilai berbeza dengan keseluruhannya berjumlah RM135,810.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 16 Januari 2015 hingga 20 Ogos 2018 di pelbagai bank di Bukit Mertajam di sini.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Bagi setiap pertuduhan itu, mereka turut berdepan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini, manakala dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan di antara RM11,000 sehingga RM20,000, kepada setiap tertuduh, manakala 2 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Loading...