9 Maut Ketika Nak Hantar Ahli Keluarga Ke Tahfiz

BETONG – Sembilan sekeluarga yang maut selepas kenderaan dinaiki terjunam ke Sungai Batang Lupar petang tadi, dikatakan dalam perjalanan menghantar seorang daripada mereka ke Kuching untuk mengikuti pengajian tahfiz.

Selain pemandu, Ronany Ting, 33, lapan lagi yang maut adalah penumpang Ford Ranger itu termasuk seorang wanita mualaf, Siti Aisha Abdullah, 36 dan tiga anak lelakinya termasuk seorang yang bakal memasuki sekolah tahfiz itu.

Mereka ialah Mohd Ahmad Mohd Hamdan yang berusia empat bulan, serta abangnya Muhd Mustaqim dan Mohd Aiman yang berusia lima dan tujuh tahun.Empat lagi mangsa adalah Khairunnisa Muhamad, 14 dan Nor Shuhada Mohamad, 16, serta Wallace Phang, 7 dan Alvin Phang, 12.

Sumber berkata, kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu berlaku apabila 4WD terbabit berundur selepas kapasiti feri ketika itu penuh.

“Berdasarkan maklumat saksi, kenderaan itu tiba-tiba meluncur ke arah sungai lalu terjunam dalam arus yang agak deras,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, orang ramai yang menyedari kejadian itu berusaha membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap, namun ketika dikeluarkan semuanya sudah tidak sedarkan diri.

Semua mangsa kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Beladin sebelum kematian disahkan Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Beladin.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 3.14 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dan BBP Simunjan dikejarkan ke lokasi untuk membantu. – BH ONLINE