869 Kes Baharu Covid-19, 6 Kematian Hari Ini

KUALA LUMPUR – Sebanyak 869 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 42,050 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 11,446 kes.

“Sabah terus mencatat jumlah kes tertinggi sebanyak 397 kes iaitu 45.7 peratus, dan sebanyak 258 kes lagi dilaporkan di Lembah Klang iaitu 29.7 peratus,”katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 725 kes dilaporkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19, hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 30,304 kes atau 72.1 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Sehingga kini, terdapat 82 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Setakat jam 12 tengah hari enam kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 300 kes,”katanya. – myMetro Online