867 Pusat Internet Beroperasi Sejak 2007

KUALA LUMPUR – Sebanyak 867 Pusat Internet telah beroperasi sejak 2007 dengan anggaran kos penyelenggaraan dan operasi tahunan kira-kira RM300,000 bagi setiap lokasi.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata pelaksanaannya di seluruh negara adalah untuk memenuhi objektif utama dalam merapatkan jurang digital dengan penyediaan perkhidmatan capaian jalur lebar secara kolektif kepada masyarakat bandar dan luar bandar.

“Buat masa ini, kerajaan tidak berhasrat untuk menambah bilangan Pusat Internet sedia ada kerana tumpuan diberi kepada pembangunan infrastruktur komunikasi yang menyediakan liputan jalur lebar talian tetap dan mudah alih yang dapat memberi perkhidmatan komunikasi lebih menyeluruh kepada penduduk setempat,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu jumlah Pusat Internet 1Malaysia dan kos perbelanjaannya mengikut tahun sejak diwujudkan serta adakah ia akan diteruskan.

Sementara itu, Eddin Syazlee berkata kerajaan sedia menimbang cadangan mewujudkan pusat internet sebagai tempat untuk permainan video sukan elektronik (e-sport) untuk golongan muda pada masa hadapan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan kini lebih ke arah penambahbaikan akses internet sekali gus meningkatkan liputan dan kelajuan internet di seluruh negara. – BERNAMA

Loading...