862,445 Individu Terima Vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR – Sebanyak 862,445 dos vaksin COVID-19 sudah diberi kepada penerima, setakat semalam, membabitkan 534,191 penerima dos pertama dan 328,254 dos kedua.

Data dikongsi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, di Twitter, hari ini, menunjukkan Selangor mencatat penerima suntikan pertama yang tertinggi membabitkan 73,433 dos.

Ia disusuli Sarawak (55,037), Perak (51,469), Sabah (49,203), Kuala Lumpur (47,251), Johor (45,284), Pahang (34,842), Pulau Pinang (34,096) dan Kedah (32,089). 

Selangor turut merekodkan pemberian dos kedua yang tertinggi dengan 41,043 dos, diikuti Perak (34,035), Sabah (33,814), Kuala Lumpur (29,341) dan Sarawak (28, 472).

Adham dalam kenyataan sama turut menyeru orang ramai melakukan pendaftaran segera melalui pelbagai platform yang disediakan. 

Orang ramai boleh mendaftar bagi suntikan vaskin sama ada melalui aplikasi MySejahtera, laman web vaksincovid.gov.my atau menghubungi hotline 1800-88-8828. 

Fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menyasarkan untuk memvaksin sekurang-kurang 500,000 petugas barisan hadapan menjelang April.

Jumlah suntikan terkini yang direkodkan menyaksikan sasaran fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk memvaksin sekurang-kurang 500,000 petugas barisan hadapan, berjaya dicapai.

Ia dicapai hanya dalam tempoh 39 hari selepas program imunisasi itu bermula 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19 di negara ini

Dalam pada itu, fasa kedua program imunisasi dijadualkan bermula 19 April hingga Ogos depan membabitkan kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi. – BH Online