83 Individu Ditahan Kes Rusuhan Kuil Setakat 8 Pagi

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia setakat ini telah menahan 83 individu untuk membantu siasatan kes kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata semua yang ditahan setakat ini adalah warga tempatan dan masih ada ramai lagi yang diburu.

“Setakat pukul 8 pagi ini kami telah tahan 83 individu untuk siasatan dan ada beberapa lagi sedang diburu.

“Semalam kami telah senaraikan beberapa individu terbabit dalam kekecohan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Kolej UniKop di Maktab PDRM di sini, hari ini.

Semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata PDRM sedang mengesan 28 orang saksi untuk membantu siasatan berhubung insiden rusuhan itu dan memohon kesemua saksi berkenaan tampil memberi kerjasama.​​​

Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu, menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.​​​

Kejadian itu juga menyebabkan seorang anggota polis cedera selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam. – BERNAMA

Loading...