81 Laporan Polis, Bukit Aman Akan Panggil Yew Yin

SHAH ALAM – Bukit Aman akan memanggil ahli perniagaan, Koon Yew Yin untuk diambil keterangan berhubung kenyataan kontroversi menghina tentera.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, ahli perniagaan itu akan dipanggil dalam masa terdekat.

Menurutnya, sehingga kini polis telah menerima 81 laporan polis di seluruh negara berkaitan isu ini dan dijangka jumlah itu akan terus bertambah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan dan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Yew Yin menerusi blog kendaliannya mendakwa anggota tentera hanya makan dan tidur serta tidak pernah berperang melainkan menembak papan sasaran, seterusnya mencadangkan agar mereka membuat kerja-kerja ladang bagi menggantikan pekerja asing.

Bagaimanapun ahli perniagaan itu kemudiannya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.