8 PATI & 4 Tekong Ditahan Di Port Dickson

PORT DICKSON – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk melalui jalan tidak diwartakan di perairan Port Dickson, awal pagi semalam.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Amran Daud berkata turut ditahan ialah empat tekong darat dan kesemua mereka di tahan pada pukul 4.30 pagi dalam operasi khas yang dijalankan pihaknya.

Daripada empat tekong yang ditahan, seorang adalah warga Indonesia dan baki warga tempatan manakala kesemua lapan PATI adalah warga Indonesia.

“Kesemua mereka yang berumur lingkungan 19 hingga 58 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Maritim di pesisir pantai Negeri Sembilan yang mengenalpasti lorong tikus yang digunakan sindiket penyeludupan.

“Tangkapan itu adalah hasil maklumat yang kami terima mengenai terdapat sebuah bot dari perairan Indonesia ke Port Dickson dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amran berkata kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM)

“Sehingga hari ini, APMM Melaka dan Negeri Sembilan telah berjaya membuat tangkapan sebanyak 12 kes di bawah ATIPSOM.

“Kami akan terus meningkatkan lagi operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – BERNAMA

Loading...