8 Makanan Halal Wajib Cuba Di Taiwan

RAKYAT Malaysia memang dikenali dengan budaya mencintai makanan. Kalau tidak masakan ada kedai makan 24 jam di hampir semua tempat.

Minat terhadap makanan umpama satu rahmat kerana memberikan kegembiraan bila mana kita berpeluang menikmati sesuatu yang sedap.

Bagi masyarakat muslim bagaimanapun, ada hukum dan garis panduan yang ditetapkan dalam agama apabila mahu menikmati sesuatu juadah.

Namun, itu bukan masalah kerana apa yang halal itu sebenarnya lebih pada cukup.

Andai anda memilih melancong ke negara bukan Islam, anda masih berpeluang merasakan makanan negara itu kerana akan ada restoran-restoran milik orang Islam atau yang prihatin isu halal menyediakan juadah yang sesuai.

Untuk kali ini, jom kita ambil contoh Taiwan.

Kami gariskan di sini lapan juadah negara itu yang harus dicuba berserta dengan restoran halal yang ada.

1. Mee Daging Taiwan (Niu Rou Mian)

Di negara pulau berkenaan, mee daging dijual di gerai tepi jalan juga di restoran yang memiliki penarafan bintang Michelin.

Senang cakap, ia makanan yang sedap dan mudah. Ramuannya semudah namanya juga yakni mee dan daging lembu yang direbus. Kerap juga hidangan dimasukkan sekali dengan sayur kobis serta daun bawang.

Namun, demi memastikan halal, jangan main makan di mana-mana sahaja. Salah satu restoran yang menghidang mee tersebut yang dijamin halal adalah Ai-Jia Muslim Beef Noodles Restaurant.

Tidak perlu risau kerana pemiliknya dikenali keluarga muslim yang baik.

Alamat restoran adalah 41, Alley 223, Zhongxiao East Road, Section 4, Taipei city, Taiwan 106. Andai boleh sampai ke sana dari station MRT Ximen dalam masa hanya 10 minit.

Ia dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula 7.30 pagi hingga 10 malam.

2. Youtiao

Makanan ini rasanya boleh diperoleh di Malaysia dan dikenali sebagai cakoi.

Bezanya kalau ada makan di Taiwan, resepinya lebih asli dan dimasak masyarakat asal, yakni kaum Cina.

Di Taiwan, youtiao kerap kali dimakan waktu sarapan bersama susu soya. 

Cadangan terbaik untuk merasa youtiao bersama susu soya adalah di Yong He Dou Jiang Da Wang (terjemah mudah bermaksud Raja Susu Soya).

Alamatnya ialah No.102, Section 2, Fuxing South Road dalam Daerah Da’an.

3. Ais Batu Kepal Dengan Mangga

Andai anda peminat mangga, ini satu benda yang anda jangan lepaskan peluang merasa andai menjejakan kaki ke Taiwan.

Saluran penyiar berita terkemuka, CNN pernah melaporkan ini antara pencuci mulut paling sedap di dunia.

Pelancong muslim disaran mencuba di Ice Monster bagi mengetahui sendiri apa yang kecoh sangat mengenai pencuci mulut ini.

Kena bersedia, barisan pelanggan yang menunggu giliran memang panjang adakalanya tetapi sangat berbaloi.

Pencuci mulut ini terdiri daripada ais kepal yang dibungkus bersama isi mangga, ais krim mangga dan sos manis dari buah yang sama. Sekali cuba pasti mahu lagi!

Alamat untuk Ice Monster ialah No.297, Section 4, Zhongxiao East Road, Taipei 106.

4. Telur Besi (Iron Eggs)

Telur jenis itu adalah salah satu snek yang sangat popular di Taiwan. Penyediaannya melibatkan telur ayam yang dimasak berulang kali dalam kicap manis bersama herba dan rempah.

Proses penyediaan itu menjadikan telur berkenaan kecut dan berubah menjadi hitam.

Semua ramuan yang digunapakai adalah halal menjadikan pelancong Muslim boleh mencubanya. Antara lokasi terkenal untuk mencuba telur besi adalah Tamsui Old Street.

5. Dumplings Daging

Dumplings atau ladu yang benar-benar terkenal di Taiwan ialah xiao long bao (yang dikukus) tetapi jangan sesekali cuba yang itu! Ia mengandungi isi babi.

Namun, untuk pelancong muslim, ada pilihan dumplings daging lembu di Kedai Mee Daging Chang di daerah Zhongzheng. Restoran itu mempunyai pensijilan halal.

Jangan bimbang dengan standard dengan pensijilan halal Taiwan kerena ia dikawal ketat kerajaan dan Persatuan Muslim Taiwan.

Dumplings Kedai Mee Daging Chang mempunyai kulit yang nipis. Bila anda mengigitnya anda terus merasa daging bersama sup yang terkandung di dalam balutan dumpling berkenaan.

Hati-hati jangan sampai terbakar lidah anda yea!

Alamat untuk ke kedai berkenaan ialah No. 21, Yanping South Road, Zhongzheng District, Taipei City.

6. Telur Dadar Tiram (Oyster Omelette)

Seperti mana namanya, anda sudah mampu mengagak sebahagian resipinya. Yea betul, ia dibuat menggunakan telur dan tiram tetapi turut juga ditambah dengan kentang manis.

Tidak mampu membayangkan rasanya, anda kongsi maklumat dengan penulis yea bila suatu hari nanti anda ke Taiwan dan merasa telur dadar tiram.

Kalau anda memilih untuk naik ke salah satu bangunan tertinggi dunia, Taipei 101, selepas ke dek pemerhatian, anda boleh ke Ding Xian 101 Gourmet Restaurant yang terletak di tingkat 86.

Nikmati makanan laut halal termasuk resepi telur ini yang disajikan dengan pemandangan menakjubkan kemodenan ibukota negara Taiwan dari udara.

7. Tauhu Busuk

Nama di atas adalah terjemahan langsung penulis pada bahasa Inggeris iaitu stinky toufu.

Tauhu dengan bau yang menusuk itu dikatakan menyamai bau kaki oleh sesetengah orang.

Mungkin sebab proses peram yang dibuat.

Namun hey, jangan putus asa sebab nama dan bau serta apa orang cakap. Jiwa pengembara anda seharusnya mendorong anda untuk mencuba.

Mana tahu, anda mengemarinya dan mahu lagi.

Pasar malam Shilin adalah antara lokasi yang terbaik. Untuk memastikan ia halal, beli dari kedai yang hanya menghidangkan makanan vegetarian sahaja.

8. Lempeng Udang

Nama yang dipermudahkan terjemahannya oleh penulis. Dalam bahasa Inggeris ia digelar Moon Shrimp Cake. Kenapa ada istilah bulan penulis pun tak pasti.

Ia bermula sebagai masakan jalanan. Ada yang memberitahu ia asalnya masakan Siam yang kemudiannya diadaptasi masuk ke dalam budaya masakan Taiwan.

Bukti bagaimana dua budaya boleh bertembung untuk menghasilkan sesuatu yang indah (atau mengenyangkan).

Tempat terbaik untuk mencubanya ialah Tai Xiang Yun Halal Restaurant.

Alamatnya adalah No. 40, Beining Rd., Songshan Dist dalam kawasan Taipei.

Itu adalah lapan sajian di Taiwan yang sesuai dengan citarasa dan keperluan pelancong beragama Islam.

Sebenarnya banyak lagi yang anda boleh cuba terutama bila berkunjung ke beberapa restoran halal yang disebutkan di atas.

Bagaimanapun, penulis mencadangkan kepada anda agar semak beberapa kali bila mencuba makanan-makanan di atas.

Anda boleh bertanya dengan pemandu pelancong atau berhubung dengan Persatuan Muslim Taiwan.

Hanya sebagai langkah tambahan. – Mynewshub.TV

Loading...