8 Kluster Baharu COVID-19 Lagi Dikesan

PUTRAJAYA – Lapan lagi kluster baharu COVID-19 dikesan hari ini, membabitkan tiga di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Johor, Selangor, Perak, Pahang dan Kedah. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Tembok Choh dikesan di beberapa daerah di Johor iaitu Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing.

Beliau berkata, kluster itu dikesan hasil saringan bersasar terhadap sebuah pusat tahanan dan sehingga kini sudah menjangkiti 382 kes. 

“Kluster Tapak Bina Broga membabitkan daerah Hulu Langat, dikesan hasil saringan bersasar terhadap sebuah tapak pembinaan yang sudah menjangkiti 64 individu.

“Kluster tempat kerja dinamakan Kluster Tapak Bina Jalan Stesen, membabitkan daerah Lembah Pantai yang sehingga kini seramai 54 kes dikesan positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata, kluster seterusnya dikenali sebagai Kluster Slot Berjaya, Kluster Jalan Nikolas, Kluster Jalan Pongsu, Kluster Jalan Damai Ketari dan Kluster Alor. – BH Online