8 Kluster Baharu Covid-19 Direkodkan Hari Ini

KUALA LUMPUR – Lapan lagi kluster baharu Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lima kluster membabitkan tempat kerja, komuniti (dua) dan kumpulan berisiko tinggi (satu).

Menurutnya, kluster di Selangor membabitkan Kluster Industri 19, Kluster SS Lapan dan Kluster Industri Jalan Empat manakala Kluster Jalan Putra Silang di Kuala Lumpur.

“Di Pahang merekodkan Kluster Tapak Bina Indera Mahkota, Kluster Kampung Mak Teh di Perak.

“Manakala di Kluster Jalan Ho Pin di Sarawak dan Kluster Lorong Murni di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 499 kluster masih aktif dengan 18 kluster tamat hari ini.

Katanya, Selangor kembali merekodkan jumlah kes baharu tertinggi dengan 666 kes manakala kes di Negeri Sembilan yang naik mendadak semalam menurun kepada 62 kes. – myMetro Online