8 Borang Pencalonan PRK DUN Rantau Sudah Dijual

REMBAU – Sebanyak lapan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sudah dijual menjelang hari penamaan calon esok.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom berkata, borang pencalonan tersebut telah dibeli oleh wakil dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Bebas.

“Ada pembelian saat akhir, menjadikan lapan borang pencalonan telah dijual. Ia dibeli wakil BN, PH dan selebihnya Bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan di Pusat Penamaan Calon, PRK Rantau di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, di sini hari ini.

Sementara itu, Azmi memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan persiapan bagi proses penamaan calon yang bakal diadakan esok.

“Nampak persiapan berjalan dengan lancar dan saya rasa tiada masalah esok. Harap semua berjalan dengan baik asalkan semua ikut peraturan dan undang-undang.

“Saya difahamkan terdapat kira-kira 300 orang anggota polis akan turut bertugas. Saya yakin mereka akan menjalankan tugas dengan baik dan saya harap proses penamaan calon berlangsung dengan teratur dan damai,” katanya.

Loading...