73 Terkorban, 3,700 Cedera Dalam Letupan Di Beirut

BEIRUT – Seramai 73 orang terbunuh dan 3,700 lagi cedera dalam dua letupan yang menggegarkan Beirut semalam, kata Kementerian Kesihatan Lebanon.

Letupan itu menyebabkan beberapa buah bangunan bergoyang dan kepulan asap menjulang ke langit.

Stesen televisyen LBC pada awalnya memetik Menteri Kesihatan, Hamad Hasan sebagai berkata, letupan di tengah Beirut itu telah menyebabkan ramai orang cedera dan berlaku kerosakan yang besar.

Media-media Lebanon turut menyiarkan imej mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dengan sebahagiannya berlumuran darah.

Setakat ini, punca kejadian masih tidak diketahui.

Satu sumber keselamatan mengesahkan dua letupan berlaku dan menggegarkan kawasan pelabuhan di sekitar bandar raya Lebanon itu.

Ketua keselamatan dalam negeri negara itu, Abbas Ibrahim berkata, satu letupan besar berlaku di bahagian yang menempatkan bahan letupan berkuasa tinggi.

Seorang koresponden AFP yang berada di tempat kejadian berkata, setiap kedai di Hamra iaitu sebuah pusat komersial mengalami kerosakan besar termasuk sejumlah kereta.

Menurutnya, asap hitam turut menyelubungi kawasan pelabuhan itu.

Letupan kuat itu juga dapat dirasai di seluruh bandar raya itu dan bekalan elektrik terputus di beberapa buah daerah.

“Bangunan-bangunan bergoyang,” menurut seorang penduduk menerusi Twitter.

Mangsa-mangsa yang cedera pula sedang berjalan di kawasan itu.

Sementara itu, mangsa-mangsa yang berlumuran darah termasuk kanak-kanak mendapatkan rawatan di luar Pusat Perubatan Clemenceau.

Presiden Lebanon, Michel Aoun mendesak supaya satu mesyuarat pertahanan kebangsaan diadakan dengan segera manakala Perdana Menteri, Hassan Diab mengisytiharkan Rabu sebagai hari berkabung. – Agensi

Loading...