72 Laporan Polis Isu Sandiwara Lahad Datu

KUALA LUMPUR – Sebanyak 72 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kenyataan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 adalah sandiwara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.

Beliau berkata siasatan kes berkenaan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi membantu siasatan.

“Kami telah hantar USJT untuk membantu IPK Sabah dan ramai saksi kes ini akan dipanggil untuk ambil keterangan kes berkenaan,” katanya pada sidang media selepas hadir perhimpunan bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman, di sini.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Mohamaddin, Acryl Sani berkata kenyataan ahli politik berkenaan telah banyak mengguris hati semua pihak yang terlibat dalam insiden pencerobohan Lahad Datu.

“Saya tidak mahu komen banyak (kenyataan Mohamaddin) tetapi yang penting kami menjalankan siasatan kes itu,” katanya ringkas. 

Sebelum ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata tuduhan itu merupakan penghinaan kepada pasukan keselamatan khususnya kepada 10 keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa itu.

Berikutan itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata kenyataan yang dikeluarkan ahli politik berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan memperlekeh tugas anggota tentera.

Turut hadir perhimpunan itu adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. – BERNAMA

Loading...