Jumpa Saifuddin Baca An-Nas, Kata Ulama

MENJELANG kedatangan Syawal, seorang ulama kanan PAS memberi dua pesanan kepada penyokong parti itu dan UMNO, selain kumpulan agamawan parti terbabit.

Dalam hantarannya di media sosial, Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Mokhtar Senik pada awalnya berpesan kepada penyokong kedua-dua parti agar membacakan surah an-Nas jika mereka terserempak dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.

Selain dibaca dalam solat, lazimnya surah itu digunakan untuk memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan.

Dalam hantarannya Mokhtar menasihati orang UMNO atau PAS yang ternampak kelibat Saifuddin agar membaca bismillah dan permulaan ayat surah terakhir dalam al-Quran itu.

“Mudah-mudahan kita diselamatkan daripadanya,” kata Mokhtar.

Menyertai nasihat itu ialah keratan berita mengenai nasihat Saifuddin kepada UMNO agar berhati-hati dengan PAS.

Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR berkata UMNO perlu diberi perhatian ketika mereka sedang bersedia bergabung dengan PAS dan mungkin menggunakan satu lambang semasa menghadapi pilihan raya umum akan datang.

USAH TAYANG PELUK ISTERI

“Masa masih panjang dan selamat maju jaya, cuma peringatan ingin diberikan kepada Umno untuk berhati hati. Dia (PAS) dengar boleh, tapi (kalau nak) percaya kena tapis dahulu.

“Kalau dia bohong, tanya: ini bohong yang tak boleh atau patuh syariah,” katanya seperti dipetik Utusan Online.

Untuk rekod ia bukanlah berita baru, sebaliknya dilaporkan akhbar itu pada hampir tiga bulan lalu.

Dalam hantaran sama, Mokhtar juga menyatakan beliau tidak bermaksud melabel Saifuddin sebagai syaitan dengan saranan membaca surah an-Nas itu.

“Jangan kata saya kata Saifuddin itu syaitan, tapi (kita) mohon perlindungan daripada syaitan yang ada di samping Saifuddin,” katanya ringkas.

Mokhtar juga tidak lupa menitipkan nasihat kepada pimpinan PAS dan ustaz-ustaz dalam parti itu agar tidak memuat naik gambar masing-masing berpelukan dengan isteri atau aksi mesra lain.

“Raya ni janganlah galak upload (muat naik) gambar peluk bini dan cium pipi bini di Facebook,” katanya.

Kata bekas ketua Dewan Ulama PAS Pahang itu pimpinan parti terbabit wajar membezakan diri masing-masing daripada pemimpin parti lain.

“Mesra dan sayang isteri tu kita simpan sebagai rahsia kita berdua sahaja. Jaga adab, kerana adab pimpinan sangat perlu dijaga berbanding orang awam,” katanya lagi. – Malaysiakini

Loading...