7 Produk Kosmetik Dikesan Mengandungi Merkuri

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan menghentikan penggunaan dan pembelian tujuh produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata tujuh produk berkenaan termasuk Dnars Golden Cream, Fjura- Face Polish Treatment, Glow Glowing N Glowing, Apple Diamond Day Loose, 3rd Series Yanko Fade Out Cream Day Cream, 5th Series Yanko Fade Out Cream Day Cream dan 7th Yanko Series Whitening Cream Day.

Katanya, notifikasi produk berkenaan sudah dibatalkan dan ia tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berkenaan.

“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk terbabit dalam kadar segera.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutnya, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau menegaskan penggunaan merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Bahan berkenaan boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf.

“Bahan berkenaan juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Ia juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Orang ramai yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.

Loading...