7 Pemain Baru Perkuat Skuad Semut Merah Hadapi Liga Super 2019

KUALA LUMPUR – Bakal pencabar kejuaraan Liga Super 2019, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) tampil dengan perancangan rapi selepas mengesahkan tujuh pemain dapat direkrut bagi memantapkan pasukan kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

Menerusi satu kenyataan dimuat naik dalam laman rasmi Facebook kelab itu, dua pemain pasukan Kedah – Muhammad Ariff Farhan Md Isa yang beraksi di posisi tengah dan Mohd Farhan Abu Bakar (penjaga gol) telah berjaya dipancing skuad Semut Merah itu.

“Lima lagi pemain ialah Nicholas Ryan Swirad (pertahanan tengah/Melaka United); Tommy Mawat Bada (pemain sayap/PJ Rangers); Shafiq Shaharudin (penyerang/Kelantan) dan Mohamad Fandi Othman (pertahanan kiri/Felcra FC),” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, PKNS FC juga menandatangani seorang pemain kebangsaan namun identiti pemain berkenaan akan didedahkan selepas tamatnya saingan AFF Piala Suzuki 2018.

Dengan kemasukan tujuh pemain baru dan 11 pemain yang dikekalkan serta empat pemain import menjadikan skuad PKNS FC kini mempunyai 21 pemain.

Pengurusan pasukan akan melengkapkan skuad dengan membawa naik beberapa pemain berpotensi daripada Piala Belia dan Presiden, antaranya pemain pertahanan tengah skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Shivan Pillay Asokan.

PKNS FC berjaya menampilkan aksi konsisten sepanjang musim ini apabila menamatkan saingan liga di tangga ketiga di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak.

Pastinya pencapaian itu amat luar biasa bagi sebuah kelab yang diuruskan badan korporat dan ia juga bukti perlunya urus tadbir yang cekap dan profesional dalam sesebuah pasukan. – BERNAMA

Loading...